Penduduk taman bela anak babi hutan

Anak babi hutan dipelihara seorang penduduk yang dirampas Jabatan Perhilitan Johor.
Anak babi hutan dipelihara seorang penduduk yang dirampas Jabatan Perhilitan Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas seekor anak babi hutan yang dipelihara seorang penduduk di Taman Nusantara, Gelang Patah di sini semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan orang ramai mengenai seorang lelaki memelihara anak babi hutan di kawasan kediaman tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati anak babi tersebut telah dipelihara sejak lapan bulan yang lalu sebagai haiwan kesayangan," katanya di sini hari ini.

Salman berkata, pihak Perhilitan telas merampas anak babi hutan tersebut dan siasatan akan dijalankan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana kesalahan menyimpan spesies hidupan liar tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Perhilitan.

Katanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak Jabatan Perhilitan Johor menasihatkan orang ramai yang berminat menyimpan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan agar memohon lesen dan menyimpan spesies yang sesuai.

"Memelihara babi hutan sebagai haiwan kesayangan adalah tidak sesuai kerana boleh mengancam keselamatan pemilik serta orang ramai jika ianya terlepas serta boleh mengganggu keselesaan jiran-jiran yang tinggal berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!