Jalan Semangat di PJ jadi Jalan Professor Khoo Kay Kim
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menamakan Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pada 28 Mei lalu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia sebagai mengenang segala jasa dan bakti tokoh sejarawan negara selepas merupakan individu penting merangka Rukun Negara dalam usaha mengembalikan keharmonian negara selepas peristiwa 13 Mei 1969.
"Beliau turut menyumbang dalam pembentukan sejarah Malaysia pada abad 19. Karyanya seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics menjadi rujukan dalam penulisan sejarah Malaysia.
"Beliau yang turut aktif menyumbang pandangan tentang politik, isu berkaitan pembinaan negara dan bangsa serta sukan bola sepak yang diminatinya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
"Sultan Sharafuddin telah menitahkan supaya kerajaan negeri memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!