Salah guna wang tempahan pelanggan

Tertuduh tiba di pekarangan mahkamah diiringi polis pagi tadi.
Tertuduh tiba di pekarangan mahkamah diiringi polis pagi tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Suami isteri yang juga pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini hari ini, atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang tempahan pembelian kenderaan daripada pelanggan.

Tertuduh, Shah Riman Rajah Abdullah, 57, dan Norul Hanum Mohamed Hussain Albari, 42, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM500 milik seorang lelaki berusia 32 tahun di Rahang Square, lebih kurang jam 3 petang, 11 Disember 2018.

Pertuduhan kedua, tertuduh sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM500 milik seorang lelaki berusia 22 tahun kira-kira jam 9 malam, 27 Februari lalu di Senawang.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM1,500 milik seorang lelaki 43 tahun di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira jam 12.30 tengah hari 22 Februari lalu.

Sementara itu, pertuduhan keempat, sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM5,000 milik lelaki sama di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira jam 3.30 petang 8 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh masing-masing melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri menawarkan jaminan RM28,00 bagi semua pertuduhan terhadap pasangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam K Vijayasundra Thevar dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan susulan Shah Riman menghidap sakit jantung dan diabetes selain menanggung anak masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM11,000 setiap seorang dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri setiap 1 haribulan di balai polis terdekat.

Sebutan kes seterusnya pada 5 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!