Hati-hati perangkap kumpulan judi haram, scammer

Leong (bertopeng) dan Guo Nan bersama laporan polis pada sidang media berkenaan.
Leong (bertopeng) dan Guo Nan bersama laporan polis pada sidang media berkenaan.
A
A
A

IPOH - Seorang pemuda membuat laporan polis setelah tertipu dengan tawaran bekerja oleh sebuah kumpulan judi haram di Filipina melalui laman sosial facebook baru-baru ini.

Pemuda yang hanya hanya mahu dikenali sebagai Leong 30 dan berasal dari Ipoh itu berkata, tawaran kerja berkenaan sebenarnya adalah untuk menyertai kumpulan judi haram serta menjadi scammer bagi tujuan menipu orang ramai.

Menurutnya, setelah menolak tawaran berkenaan dia dipaksa tinggal di sana (Filipina) selain perlu membayar RM12,000 sebagai ganti rugi jika mahu pulang ke negara ini.

“Pada bulan April baru-baru ini, saya tertarik dengan iklan penawaran kerja di luar negara semasa melayari Facebook seterusnya sahabat saya yang hanya dikenali sebagai Roy pula memperkenalkan saya seorang warga China yang berada di Filipina dan kami kemudiannya mewujudkan grup WeChat sesama kami dan saya menjalani proses temuduga menerusi aplikasi WeChat berkenaan.

“Setelah meletakkan jawatan di sebuah kilang Mei lalu saya telah pergi ke Filipina. Setibanya di sana, pasport saya disimpan oleh seorang pekerja syarikat berkenaan dengan alasan untuk memudahkan permohonan permit kerja.

“Kemudian saya di bawa ke sebuah bangunan dan diberitahu bahawa pekerjaan di situ adalah umpama penipuan melalui aktiviti judi haram secara atas talian. Ada banyak peraturan yang perlu dipatuhi dan sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan termasuk cuba melarikan diri, seseorang itu akan dihukum dengan penalti wang tunai dan dikurung dalam bilik gelap serta dipukul,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Leong, setelah sehari bekerja di situ dia menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan dan pulang ke negara ini.

Bagaimanapun, ketika itu dia diugut agar menjelaskan bayaran pampasan berjumlah RM12,000 dan sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dikurung serta didera.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ditunjukkan klip video bagaimana saya akan dihukum atau didera sekiranya tidak membayar wang pampasan berkenaan. Selama 10 hari saya ditahan di Filipina dengan pengawasan rapi oleh kumpulan judi haram berkenaan.

“Saya kemudiannya bersetuju untuk membayar wang berkenaan dengan bantuan saudara di negara ini yang membuat pembayaran menerusi aplikasi WeChat Pay, kepada akaun di negara China.

“Setelah semua urusan selesai, baharulah saya dibenarkan pulang ke Malaysia. Saya juga terus membuat laporan polis dengan harapan perkara ini dapat disiasat untuk mengelakkan lebih ramai lagi tertipu pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhimatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berharap perkara sedemikian diberikan perhatian serius oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) agar tidak terus berleluasa selepas ini.

Katanya, jenayah menerusi atas talian ini semakin bermaharajalela dan telah mendatangkan ancaman yang serius kepada masyarakat.

“Orang ramai juga dinasihati supaya belajar dari insiden tersebut dan berhati-hati serta agar tidak terperangkap dengan apa juga tawaran kerja yang meragukan.

“Saya percaya bahawa masih ada mangsa yang lain dan menggalakkan mereka untuk tampil membuat laporan polis supaya lebih banyak maklumat dalam usaha menangani masalah ini dan memberkas pihak yang terlibat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!