Qatar Airways terbang ke Langkawi mulai 15 Oktober

Qatar Airways
Qatar Airways
A
A
A

QATAR Airways akan memulakan penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mulai 15 Oktober ini, kata Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Qatar Airways, Datuk Muzammil Mohamad.

Beliau berkata, empat penerbangan seminggu akan dilakukan mulai tarikh itu iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Mulai 27 Oktober pula, satu lagi perjalanan akan ditambah iaitu pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan lima penerbangan seminggu dari Doha ke Langkawi.

"Qatar Airways akan memulakan penerbangan dari Doha ke Langkawi mulai Oktober hadapan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang boleh membawa lebih 250 penumpang. Penerbangan ini akan terbang terus dari Doha melalui Pulau Pinang ke Langkawi

"Pesawat Qatar Airways ini akan berlepas dari Doha pada 2.00 pagi waktu tempatan dan akan tiba di Langkawi 5.05 petang, pesawat itu akan berlepas pulang dari Langkawi pukul 7.00 malam," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Razmi Rahmat, Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi Ahmad Pishol Ishak dan Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) Datuk Alexander Isaac.

Muzammil berkata promosi mengenai laluan terbaharu itu sudah giat dilakukan sejak April dan menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan.

"Jualan sudah bermula sejak April lepas, Alhamdulilllah kita dapat lihat permintaan dan tempahan penerbangan ke Langkawi amat memberangsangkan. Lebih menarik kita dapat lihat permintaan daripada negara-negara yang berkemungkinan besar tidak pernah datang ke pulau ini.

Artikel Berkaitan:

"Qatar Airways terbang ke lebih 160 destinasi di seluruh dunia, apabila Langkawi sudah berada dalam laluan penerbangan syarikat ini lebih ramai pelancong dari pelbagai negara boleh nampak seterusnya datang. Perjalanan juga lebih mudah, pelancong tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur dan tidak perlu tukar pesawat sebaliknya hanya sekali tukar di Doha dan terus terbang ke Langkawi," katanya.

Mengenai sesi taklimat bersama 60 penggiat sektor pelancongan Langkawi semalam, Muzammil berkata pihaknya menerima maklum balas yang sangat baik.

“Qatar Airways berharap dapat bawa lebih ramai pelancong dari luar negara ke Langkawi kerana kita terbang ke lebih 160 destinasi seluruh dunia.

“Langkawi sebuah pulau yang sangat cantik, banyak aktiviti boleh dibuat di sini. Menjadi harapan Qatar Airways lebih ramai pelancong dapat nikmati keindahan pulau ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!