Tujuh lagi pesakit orang asli dirawat di HKK
KUALA KRAI - Tujuh lagi pesakit baharu orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh yang menghadapi masalah pernafasan dirawat di Hospital Kuala Krai sejak tiga hari lalu.
Pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pesakit dirawat di hospital berkenaan hingga hari ini seramai 18 orang.
Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, tujuh pesakit yang baharu menerima rawatan di hospital berkenaan dirujuk dari Hospital Gua Musang.
"Daripada 18 pesakit yang dirawat di Hospital Kuala Krai, enam daripada pesakit wanita sementara enam lagi lelaki. Tiga lagi pesakit adalah kanak-kanak.
"Sementara pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dirawat sejak 10 Jun lalu berikutan kesukaran bernafas," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Peringkat Hospital Kuala Krai hari ini.
Turut hadir, Bekas Ketua Jajahan Kuala Krai, Zulkefli Abdul Rahman yang kini bertugas di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan ketua-ketua jabatan.
Dr Mohd Salleh berkata, sejak hospital ini beroperasi di hospital baharu jumlah pesakit yang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai yang menjadi hospital pakar kedua di Kelantan juga meningkat.
"Pesakit bertambah ketara antara 200 hingga 220 sehari dengan jumlah katil terdapat di hospital ini sebanyak 268 berbanding sekitar 150 pesakit sehari di hospital lama," katanya.
Beliau berkata, sejak berpindah ke hospital baharu juga terdapat pertambahan seorang doktor pakar dan beliau mengharapkan pertambahan doktor seiring dengan peningkatan pesakit susulan hospital itu turut menjadi rujukan Hospital Machang, Hospital Gua Musang dan klinik kesihatan di Kuala Krai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!