SHAH ALAM - Wiranita Putra mengesyorkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil pendekatan lebih strategik dalam menangani isu gejala seks di kalangan remaja yang semakin menular kini. Ketuanya, Intan Rahmah Ali berkata, pendekatan yang lebih dinamik dengan menitikberatkan semua aspek pembentukan insan melibatkan aspek panduan keagamaan, kesihatan, reproduksi dan sains sosial perlu dilakukan. “Kami mengesyorkan agar pihak KPWKM haruslah mengambil pendekatan dan kaedah yang lebih strategik dan spesifik dalam menangani permasalahan ini di peringkat akar umbi dan bukannya hanya di peringkat pencegahan serta kesedaran sahaja. “Wiranita juga melihat perlunya penglibatan intelektual, kaunselor dan agamawan dalam merangka kaedah dan pendekatan agar lebih pragmatik demi mencapai objektif pembentukan peribadi cemerlang di dalam dan di akhir tempoh persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam pada itu, Intan berkata, pihak sekolah haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan proses pendidikan seks di negara ini lebih konsisten dan bebas daripada pengaruh politik yang mungkin boleh mengganggu dan merosakkan keberkesanannya di masa hadapan. “Wiranita mengesyorkan agar pihak KPWKM boleh merangka satu kerjasama di antara KPWKM dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar kesinambungan konsep pembelajaran ini dapat mengajar ibu bapa cara-cara atau kaedah yang betul yang mungkin tidak pernah digunakan dan ditekankan dalam mendidik anak–anak mereka,” katanya.