Tokong tertua di Pulau Pinang terbakar
BUKIT MERTAJAM - Sebuah tokong yang tertua di negeri ini hampir musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Tokong Tua Pek Kong yang dikatakan berusia 133 tahun itu terletak di Jalan Pasar di sini terbakar lebih 50 peratus dan dipercayai bermula daripada bahagian stor tokong terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 8.40 malam sebelum dua jentera bomba digegaskan ke lokasi kejadian.
“Seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dan BBP Bandar Perda tiba di lokasi dan mendapati api sedang marak.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota dan dibantu dengan pasukan bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran berkenaan daripada terus merebak dalam tempoh masa 30 minit," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira satu jam kemudian.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang membuat lawatan ke lokasi kejadian pagi tadi berkata, tokong terbabit bukan sahaja sebuah rumah ibadat malah menjadi pusat budaya dan sejarah buat penduduk setempat.
Menurutnya, ramai yang mempunyai kenangan manis di sini terutama penduduk di sekitar Bukit Mertajam.
"Kerajaan akan memberikan kerjasama dan bantuan kepada pihak Persatuan Hock Teik Ching Sin dalam usaha membaik pulih tokong yang sudah berusia lebih 130 tahun ini," katanya.
Tokong Tua Pek Kong adalah sebuah tokong bersejarah di Bukit Mertajam yang didirikan pada tahun 1886 dan menjadi antara lokasi tumpuan pelancong serta penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!