MPNF gesa kerajaan segerakan syor Kertas Putih Felda

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan syor dan cadangan yang terdapat dalam kertas putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)”.

Pengerusi MPNF, Datuk Mazlan Aliman berkata, antara perkara yang perlu disegerakan adalah projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai dan bantuan kewangan dalam bentuk geran, pinjaman serta jaminan kerajaan.

"Kami bimbang geran yang diberikan akan menjadi pinjaman jika tidak diselesaikan segera dan ini akan menjadi masalah kepada kami.

Selain itu, terdapat tunggakan bayaran bantuan sara hidup kepada masyarakat Felda dan sejumlah RM400 juta tunggakan yang belum diselesaikan," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Felda hari ini.

Antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan hari ini adalah usaha bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan anak peneroka Felda dan pelaksanaan pengurusan ladang.

Selain itu, Mazlan menasihatkan kerajaan untuk meneliti Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) bagi mengelakkan kekeliruan berhubung pewarisan tanah rancangan dalam kalangan masyarakat Felda.

"Pihak kerajaan perlu tubuh satu panel khas untuk melihat semula akta ini dan pindaan yang boleh dibuat," katanya.

Kertas Putih Felda itu dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 April lepas yang memperincikan pelan pemulihan Felda bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan kebajikan peneroka terus dibela oleh kerajaan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!