Bomba nafi tangkap ular sawa gergasi di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Jalan Kota menafikan berita mengenai seekor 'ular sawa gergasi' yang ditangkap di Pasar Besar Kedai Payang sehingga menjadi tular di media sosial.
Sebaliknya mengesahkan ular sawa berkenaan hanya seberat 20 kilogram dan sepanjang tiga meter malah ia dianggap hanya ular bersaiz sederhana dan bukan ular gergasi seperti yang digembar-gemburkan.
Seorang anggota bomba dan penyelamat Jalan Kota, Sadong Awang berkata, dia terkejut apabila gambar ular yang menjadi tular di media sosial itu dikaitkan dengan kes tangkapan ular yang disertainya pada Rabu lalu.
“Ramai kenalan yang bertanyakan mengenai ular sawa yang ditangkap itu, memang kami yang menangkap ular sawa itu tetapi ia tidak sebesar yang digambarkan.
“Ular sawa itu hanya seberat 20 kilogram dan sepanjang tiga meter, bagi kami ia hanya ular yang bersaiz sederhana,” katanya.
Sadong berkata, ketika operasi, ular sawa itu ditangkap dan terus dimasukkan ke dalam guni sebelum dilepaskan semula ke hutan yang jauh daripada penempatan penduduk.
Sementara itu, Ketua Balai JBPM Balai Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Abdullah Zawawi berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan ular sawa itu pada 8.30 pagi Rabu.
“Tiga anggota ditugaskan untuk menangkap reptilia itu dan mengambil masa selama lima minit,” katanya.
Seorang peniaga pasar terbabit, Rozali Mohd Amin, 55, berkata, ular sawa itu ditangkap di tepi gerai bawangnya dan ia tidak sebesar yang digambarkan dan menjadi tular.
Menurutnya, ular sawa memang kerap ditangkap di pasar terbabit dan ia tidak pelik kerana pasar terletak di tepi Sungai Terengganu.
“Sepanjang berniaga di sini, tidak pernah berlaku kes ular sawa menyerang pelanggan atau peniaga.
“Saya berharap masyarakat lebih prihatin dalam menyebarkan sesuatu maklumat atau kejadian yang berlaku di pasar payang kerana laporan yang silap akan memberi kesan negatif kepada peniaga,” katanya.
Razali berkata, peniaga sentiasa memastikan kawasan perniagaan selamat dikunjungi malah program Gotong-Royong Pembersihan Pasar Besar Kedai Payang dijalankan sekali sebulan.
Sebelum ini, penduduk di Kuala Terengganu gempar dengan laporan media sosial menyebut seekor ular sawa bersaiz gergasi ditemui di Pasar Besar Kedai Payang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!