APMM tahan bot pukat tunda, nelayan Indonesia di Kota Belud

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menahan sebuah bot pukat tunda bersama tekong serta empat awak-awak warganegara Indonesia kerana disyaki melanggar syarat lesen menunda ikan di bawah tiga batu nautika di Pulau Usukan, Kota Belud, semalam.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot pukat tunda terbabit ditahan dalam satu operasi khas di perairan berkenaan kira-kira 6 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot pukat tunda berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan empat awak-awak warganegara Indonesia dengan muatan pelbagai jenis ikan dianggarkan sebanyak 100 kilogram.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Sabah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamaruszaman berkata operasi khas berkenaan dijalankan sebagai usaha membendung aktiviti pengeboman ikan yang giat dilakukan oleh sekumpulan nelayan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang operasi tersebut dilaksanakan belum ada tangkapan dibuat kerana tiada aktiviti pengeboman ikan dikesan memandangkan aktiviti terbabit turut bergantung kepada faktor keadaan cuaca di laut, dan pada masa sekarang keadaan cuaca di laut tidak menentu.

"APMM Sabah akan melakukan operasi bersama agensi berkaitan bagi memantau dan mengekang aktiviti pengeboman ikan daripada terus berleluasa dan menjual ikan itu kepada orang ramai," katanya.

Komuniti maritim juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai jenayah di laut menerusi talian 088-270165. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!