300 murid gunting rambut percuma
KUANTAN - Seramai 300 murid di daerah ini menerima perkhidmatan gunting rambut amal pada program Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Pahang
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (Ukhwah) dan Giat Mara Kuantan ini bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang tadi.
Presiden Ukhwah, Zulkefly Senek berkata sambutan amat memberangsangkan kerana ramai kanak-kanak yang hadir merupakan penduduk dari beberapa kampung dan penempatan selain anak yatim yang menghuni rumah jagaan di daerah ini.
Menurutnya, inisiatif ini dilakukan demi meringankan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan.
“Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut, sekarang upah gunting rambut bagi kanak-kanak antara RM7 hingga RM10 seorang.
"Tapi melalui program ini mereka diberikan perkhidmatan gunting percuma yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa yang duit potong rambut tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan harian lain,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, Zulkefly berkata progran ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.
Menurutnya, pihaknya akan meneruskan program berkenaan berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar daerah ini.
"Apa yang menarik di program ini, kita turut menyediakan potongan rambut untuk wanita yang turut dikendalikan oleh tukang rambut wanita yang berkaliber.
“Kita akan menjadikan program gunting rambut amal sebagai acara tahunan dalam usaha meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak bersekolah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!