Jangan lalai hadapi PKNP FC
KEDAH perlu berhati-hati menerima kunjungan PKNP FC di Stadium Darul Aman malam esok yang dilihat yang terdesak memburu mata bagi membaiki kedudukan mereka dalam Liga Super.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, semua pemainnya tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan kelab tersebut biarpun kini berada di kelompok penyingkiran.
Menurutnya, beliau berharap motivasi tinggi selepas layak ke final Piala FA perlu dikekalkan dan terus bekerja keras memburu tiga mata pada perlawanan tersebut.
"PKNP memang memerlukan tiga mata pada perlawanan ini dan sekiranya kami lalai, kami akan dihukum pasukan pelawat. Kedah juga mahu menang kerana perbezaan mata dengan Pahang dan Selangor juga tidak jauh.
"Pada baki empat perlawanan terakhir ini, kami juga menuntut sokongan padu penyokong setia bagi memastikan pasukan ini tidak keciciran mata," katanya.
Kedah kini berada di tangga ketiga dengan mengumpul 29 mata selepas mencatatkan lapan kemenangan, lima seri dan lima tewas.
Lang Merah cuba memberi tekanan kepada Pahang yang berada di tangga kedua dengan 30 mata manakala Selangor (28 mata), Perak (27 mata) dan Melaka United (26 mata) mengekori rapat dari belakang.
Selepas ini Kedah akan bertemu Terengganu FC pada 9 Julai, diikuti Perak pada 13 Julai dan Felda United FC (19 atau 21 Julai).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!