Boleh bincang tak perlu serang sesama sendiri
KUALA LUMPUR - Semua pemimpin PH dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang serangan terhadap sesama pemimpin lain dalam pakatan itu.
Seruan ini disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar pemimpin PH tidak membuat sebarang kritikan mahupun serangan terhadap pemimpin lain dalam gabungan itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan parti masing-masing.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, amalan tersebut boleh membawa kepada persepsi negatif dan akibat yang buruk kepada PH.
Justeru, Kit Siang mencadangkan supaya perbuatan itu dihentikan dan diwujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi menyuarakan kritikan ataupun ketidakpuashatian sesama mereka.
"Walaupun tiada siapa yang mahu sekatan ke atas kebebasan bersuara, yang merupakan salah satu prasyarat untuk Malaysia menjadi sebuah masyarakat demokratik.
"Adalah penting juga untuk memastikan perpaduan serta matlamat PH tidak dicemari atau dimusnahkan oleh ucapan dan ungkapan yang tidak terkawal," katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya, hari ini.
Kit Siang menambah, sekiranya SOP yang dicadangkan itu tidak berkesan, Majlis Presiden PH perlu mencari mekanisme yang lebih baik supaya matlamat gabungan untuk membina sebuah Malaysia Baharu tidak terjejas.
Terdahulu, Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Rais Hussin Mohamed Ariff memberi amaran bahawa perjanjian dalam PH boleh terjejas jika pertikaman lidah antara pemimpin dalam pakatan masih berterusan.
Menerusi kenyataan di Twitternya, beliau berkata sudah tiba masanya untuk pemimpin PH mengenepikan ego masing-masing dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!