'Seni bina Islam yang cantik merupakan satu bentuk dakwah'
PEMBINAAN masjid yang cantik dan indah perlu difahami dengan konotasi jelas supaya matlamat asal untuk mengimarahkan rumah ALLAH itu tidak akan terpesong.
Sabda Rasulullah SAW: "Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit." (Riwayat al-Bukhari)
Pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin berkata, paling penting, kecantikan masjid itu bukannya bertujuan untuk bermegah-megah, sekadar menunjukkan kuasa atau berlawan-lawan semata-mata sebagaimana dijelaskan dalam hadis itu.
"Pada saya, membina masjid yang cantik dan indah itu harus difahami dalam konteks yang jelas iaitu supaya orang rasa selesa untuk beribadah di dalamnya dan gembira datang ke masjid dengan kemudahan yang ada.
"Maka, disebabkan itu harus untuk kita membangunkan masjid yang indah dan cantik," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Menurut Ustazah Asmak, fungsi masjid pada hari ini perlu diperkasakan agar berupaya menjadi nadi kepada komuniti Islam sebagaimana ketika zaman Rasulullah SAW.
"Untuk menjadi nadi umat Islam, masjid perlu menjadi pusat penyebaran ilmu, pusat aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, pusat ekonomi dan mesra wanita serta kanak-kanak," katanya.
Sementara itu, tokoh agama, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, membesarkan rumah ALLAH merupakan antara tuntutan dalam agama Islam kerana ia menandakan masyarakat bersyukur kepada yang Maha Esa.
"Imam al-Ghazali berkata: 'Kalau hendak tengok masyarakat itu bersyukur ataupun tidak, kita kena lihat antara rumah kita dengan rumah ALLAH, yang mana lebih besar'.
"Maknanya, kalau rumah ALLAH lebih besar daripada rumah kita, itu tandanya masyarakat bersyukur kepada ALLAH. Antara ciri masyarakat bersyukur ialah rumah ALLAH itu besar dan cantik. Itu penanda arasnya," katanya.
Jelasnya, seni bina Islam yang cantik merupakan satu bentuk dakwah dalam menyebarkan ajaran agama yang benar kepada bukan Islam.
Menjawab satu soalan, Ustaz Wan Akashah berkata: "Memang ada pandangan yang negatif seperti tunjuk riak dan sebagainya apabila masjid kita cantik. Bukan kita yang mengadili hati manusia, tetapi ALLAH SWT.
"Justeru, kita tak boleh menutup mulut-mulut manusia yang berpandangan negatif, tetapi kita ambil yang positif sebab kebaikan itu lebih banyak daripada keburukan."
(ARTIKEL BERKAITAN: Manifestasi keindahan sebuah masjid)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!