Lebih RM160 juta projek tender diumum tahun hadapan
SANDAKAN - Pelbagai projek tender terbuka bernilai lebih RM160 juta di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan diumumkan secara meluas pada tahun hadapan, kata Menterinya, Datuk Junz Wong.
Menurut beliau, dengan cara itu semua kontraktor tempatan tidak terlepas pandang serta boleh memohon tender, sekali gus cara ini lebih kompetitif dan adil dari segi komersial.
"Sebelum ini, banyak tender terbuka projek lain secara iklan tetapi ramai kontraktor tidak dapat untuk ikut tender kerana 'terlepas' iklan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Wong dalam pada itu berkata tender untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip di sini yang bernilai RM40 juta akan dibuka kepada kontraktor pada 15 Jan, tahun hadapan dengan keutamaan akan diberikan kepada kontraktor Sabah untuk menaiktaraf sungai terbabit sepanjang tiga kilometer.
"Banyak aduan diterima daripada penduduk setempat kerana kediaman mereka sering dilanda banjir kilat apabila hujan," katanya yang berazam untuk mentadbir kementeriannya secara telus.
Sementara itu, Wong berkata, beliau tidak akan mengikut kaedah polisi yang diterap kerajaan lama berhubung pengumuman sesuatu projek yang mahu dilaksanakan.
Katanya, projek hanya akan diumum dan tender dibuka apabila peruntukan mencukupi.
"Sebelum ini (kerajaan lama) projek dibuka untuk tender walaupun peruntukan untuk projek dilaksana tidak cukup dan berikutan itu banyak projek bergerak perlahan dan terbengkalai," katanya lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!