Hargai peminat, Raihan-Alif Satar rancang siri jelajah

RAIHAN. Foto: AZRUL RAFIE
RAIHAN. Foto: AZRUL RAFIE
A
A
A

SAMBUTAN hangat peminat terhadap lagu Sesungguhnya 2019 yang dinyanyikan semula oleh kumpulan Raihan bersama Alif Satar telah mengejutkan kumpulan yang berkecimpung di dalam industri seni sejak 1996 itu.

Bahkan kumpulan yang kini dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim melihat kolaboratif dengan Alif sebagai batu loncatan untuk menarik perhatian peminat generasi baharu.

Mengulas mengenai kejayaan dan respons positif daripada pendengar terhadap lagu Sesungguhnya 2019, Che Amran atau lebih dikenali dengan panggilan Che Am berkata, mereka melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka Raihan kembali menjadi sebutan.

“Pertamanya, Alhamdulillah, syukur rezeki yang ALLAH beri. Semua ini terjadi dengan izin ALLAH.

“Kami juga berterima kasih kepada Alif kerana menjadi pencetus kerjasama ini selepas dia memilih Raihan untuk berduet di dalam rakaman program Bintang Minggu Ini.

“Alif kata dia suka semua lagu Raihan tetapi memilih untuk menyanyikan lagu Iman Adalah Mutiara dan Sesungguhnya pada rakaman program itu.

“Selepas habis rakaman, dia beritahu rasa best pula dan ajak kami rakamkan semula lagu tersebut. Dalam masa dua minggu, kami berjumpa semula untuk rekod dan hanya ambil masa satu hari, tapi Alif minta untuk simpan sekejap dan lancarkan pada awal Ramadan.

“Bila dah lancar, kami terkejut apabila tontonan di YouTube mencecah 1 juta dalam masa satu hari.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Jadi kami lihat kolaboratif ini juga sebagai batu loncatan buat kami kerana gabungan lama dan baharu ini masih boleh diterima oleh peminat,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Justeru sebagai penghargaan buat peminat yang menyokong mereka, Che Am berkata, Raihan dan Alif akan meneruskan kolaboratif mereka untuk siri jelajah di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah setakat ini ada beberapa penaja yang berminat untuk menaja siri jelajah ini dan ia akan diadakan di beberapa buah negara, termasuk negeri-negeri di Malaysia.

“Insya Allah kami akan mulakan siri jelajah sekitar Ogos atau September depan,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, demi memastikan siri jelajah itu menjadi kenyataan, Raihan dan Alif sudah menubuhkan kumpulan penyelaras masing-masing bagi melancarkan urusan.

“Sudah ada beberapa perbincangan yang dilakukan seperti lagu apa yang akan dinyanyikan, persembahan apa yang akan dilakukan.

“Malah bagi memastikan kelancaran, Raihan dan Alif sudah menubuhkan team penyelaras sendiri,” ujarnya.

Sejak dilancarkan di laman YouTube awal Ramadan lalu, lagu ciptaan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani itu sudah meraih jumlah tontonan lebih 12 juta di YouTube.

Letak syarat

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan penyanyi lain yang mahu bekerjasama dengan Raihan selepas Alif, Che Am mengakui sudah ada yang merisik.

Bagaimanapun akuinya, Raihan akan melihat pada kesesuaian dan juga keserasian.

“Ada yang tanya, tapi bukan secara direct, selalunya orang tanya-tanyakan. Jadi saya tak pasti secara spesifik siapa penyanyinya.

“Tapi kami tak main pilih sebab kerana lihat juga kesesuaian dan keserasian. Malah kalau boleh biar nampak cantik dan jernih serta tiada masalah (penyanyi yang ada kontroversi).

“Kalau boleh kita nak yang mudah. Tapi kita tak nafikan hak orang lain sebab masa depannya kita tak tahu bagaimana,” akhirinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!