Teresa ketuai misi melobi minyak sawit ke Eropah November ini

Teresa Kok Suh Sim (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Papan Informasi Minyak Sawit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kulala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
Teresa Kok Suh Sim (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Papan Informasi Minyak Sawit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kulala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Delegasi Malaysia akan berangkat ke Eropah pada November ini untuk bertemu dengan pesuruhjaya dan Ahli Parlimen Eropah bagi pusingan baharu melobi minyak sawit, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata, kementeriannya dengan sokongan agensi berkaitan lain akan terus bertemu dan berbincang dengan pemegang kepentingan Eropah bagi menangkis dakwaan salah mengenai minyak sawit dengan fakta saintifik yang boleh dipercayai.

"Pilihan raya Parlimen Eropah baru sahaja berakhir pada Mei jadi mereka akan bersidang pada September depan. Kemungkinan besar saya akan pergi ke Eropah pada November untuk memulakan pusingan baharu melobi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat minyak sawit Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Bagi meyakinkan lagi Kesatuan Eropah mengenai minyak sawit Malaysia, Teresa berkata, penting bagi industri tersebut untuk menambah baik prestasi mereka dan kementeriannya telah berusaha gigih untuk memastikan perladangan sawit di negara ini mencapai 100 peratus pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) pada akhir tahun ini.

Setakat ini, kira-kira 36 peratus daripada 5.85 bilion hektar ladang sawit di negara ini telah diperakui MPSO.

Mengenai pusat minyak sawit di KLIA, Teresa berkata, ia penting bagi mendidik orang ramai, warga tempatan dan juga luar negara mengenai manfaat minyak sawit kerana komoditi itu adalah tulang belakang kepada sektor pertanian Malaysia dan pemacu utama pembangunan ekonomi.

Pusat yang terletak di dewan berlepas KLIA itu bertujuan untuk menarik pengunjung mempelajari mengenai manfaat utama komoditi tersebut dalam kesihatan, penggunaan makanan, sosial dan ekonomi bersempena dengan Kempen Sayangi Minyak Sawit Malaysia.

Kempen yang sedang berlangsung di KLIA itu dengan kerjasama bersama Malaysia Airports Holdings telah bermula pada suku pertama tahun ini, menyebarkan maklumat mengenai minyak sawit menerusi skrin info di kaunter maklumat serta poster dan video di lebih 1,000 skrin paparan maklumat penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!