Bas terlalu uzur, lantai reput: PDRM

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Tragedi murid tahun enam yang maut dalam kejadian lantai bas jerlus di Pasir Puteh, kira-kira jam 11.50 pagi tadi mengejutkan ramai pihak.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan polis mendapati keadaan bas tersebut terlalu uzur dengan lantai yang reput.

Menurutnya, berdasarkan keadaan bas yang uzur dan reput, kenderaan itu sepatutnya sudah tidak boleh digunakan terutama membawa penumpang dalam kalangan kanak-kanak.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dipercayai bermain dalam bas dan melompat atas lantai yang reput di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu sebelum terjatuh ke bawah perut kenderaan dan digilis," katanya.

Menurutnya, pemandu bas yang merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun terbabit membawa penumpang seramai 31 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang termasuk mangsa yang dalam perjalanan ke Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Hanya ada seorang pemandu bersama 31 murid tanpa guru pengiring di dalam bas berkenaan.

“Polis turut mengambil keterangan pemandu bas berkenaan dan pemeriksaan mendapati dia memiliki lesen memandu manakala ujian urin pula negatif serta sudahpun dibebaskan,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menyiasat sama ada bas sekolah terbabit mempunyai permit atau tidak.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambahnya, polis juga menasihatkan pemandu dan pengusaha bas sekolah dan sewa khas supaya jangan memikirkan keuntungan semata-mata hingga mengabaikan aspek keselamatan penumpang.

Dalam kejadian itu, mangsa Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, yang berasal di Kampung Taman Desa Bakti Labok, Machang maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Bakar, Machang selepas Solat Isyak malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahun enam maut lantai bas berlubang