Kurung orang tak bayar hutang, pasangan kekasih didenda RM3,000
KUALA TERENGGANU - Sepasang kekasih masing-masing didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana bertindak mengurung dua individu yang gagal membayar hutang sebanyak RM5,000.
Kedua-dua tertuduh, Kamaruk Anam Tilam, 37, dari Johor Bharu dan teman wanitanya, Norhaiza Hitam, 45, dari Pahang turut berdepan tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan tersebut selepas mereka mengaku salah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama kerana mengurung dengan salah kedua-dua individu berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama dengan empat orang yang masih bebas didakwa melakukan secara salah mengurung Rozland Mat Nor, 45, di bilik sebuah chalet di Jalan Merang, Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, Kuala Nerus, antara 28 hingga 29 Jun lalu jam lebih kurang 7.30 pagi hingga 11.50 malam.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa bersama-sama dengan empat lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama mengurung Nur Afni Fitriah Ridwan, bukan warganegara, di lokasi, pada waktu dan hari sama.
Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara setiap seorang bagi setiap satu pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian hanya diketahui anak mangsa lelaki (pengadu) semasa berada di Kuala Lumpur, selepas dimaklumkan oleh ibunya yang tertuduh bersama kawan wanitanya berada dalam tahanan, pada 28 Jun lalu.
Pengadu dimaklumkan kejadian itu disebabkan kedua-dua mereka tidak menjelaskan hutang RM5,000 yang sepatutnya dibayar sebelum jam 9 malam, pada 29 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!