Kereta sapu warga asing monopoli Sunway

Pemandu teksi serta pemandu kereta pelancong mengeluh dengan kehadiran perkhidmatan kereta sapu yang diusahakan warga asing.
Pemandu teksi serta pemandu kereta pelancong mengeluh dengan kehadiran perkhidmatan kereta sapu yang diusahakan warga asing.
A
A
A

SUBANG JAYA - Lagak bagai di tempat sendiri, itu antara tindakan warga asing yang didakwa melakukan aktiviti kereta sapu di sekitar Sunway di sini.

Tindakan warga asing ini sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu teksi tempatan dan kereta sewa pandu pelancong warga tempatan.

Pemandu teksi, Zulkarnain Hasan, 36, berkata, aktiviti warga asing yang menjalankan perkhidmatan kereta sapu ini telah berleluasa sejak beberapa tahun yang lalu dan semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

"Mereka ini warga asing, buat kereta sapu di sekitar kawasan ini terutamanya di hotel-hotel di sini, masalah ini sudah lama sebenarnya tapi sejak akhir ini semakin berleluasa.

"Pendapatan kami ketika Ramadan lalu memang tak banyak mana, jadi waktu yang ada ini kami nak kumpul semula pendapatan tapi dengan adanya kereta sapu warga asing ini, memang jejas pendapatan," katanya.

Katanya, tindakan pemandu kereta sapu warga asing ini juga kebanyakan bersikap biadab.

"Kebanyakan mereka ini memang tak ada rasa hormat dengan orang, suka-suka hati ambil penumpang dan harga dikenakan sesuka hati.

"Apa yang kami risaukan perkara ini dapat menjejaskan imej kami sebagai pemandu teksi dan juga pemandu kereta pelancong berdaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkarnain dan Adi Norman Muliadi
Zulkarnain dan Adi Norman Muliadi

Adi Norman Muliadi, 34, berkata, kebanyakan pemandu warga asing ini merupakan pelajar.

"Saya pernah bertanya kepada mereka, mereka kata kebanyakan mereka pelajar, soal pelajar atau tidak itu bukan masalah utama, masalahnya mereka ini warga asing.

Antara aktiviti yang berjaya dirakam.
Antara aktiviti yang berjaya dirakam.

"Dan masa sama mereka jalankan aktiviti, ini, setahu kami warga asing tidak boleh jalankan aktiviti sebegini, kita yang tempatan pun nak bawa teksi kena ada permit yang sah," katanya.

Pemandu teksi, Kamrulzaman Mohd Shafie, 45, masalah utama perkara ini adalah memberi kesan kepada industri pelancongan sendiri.

"Suatu ketika dahulu, kami dikenali sebagai duta bagi negara, dengan khidmat yang kami sediakan, tapi nampak gayanya dengan aktiviti kereta sapu warga asing ini sekali gus ia memberi kesan.

"Jadi saya harap perlu ada tindakan yang tegas daripada pihak berkuasa mengenai perkara ini, kita tak mahu perkara ini menjadi semakin parah, pendapatan kami terjejas, kami nak makan apa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Nazli Md Taib berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pemandu-pemandu teksi ini.

"Insya-ALLAH tindakan segera akan diambil berhubung perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!