Bas berlubang: Hilang anak lelaki tunggal sekelip mata
PASIR PUTEH - Luluh hati seorang ibu apabila anak lelaki tunggal dan kesayangan keluarga hilang sekelip mata dalam kemalangan yang cukup tragis hari ini.
Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu terjatuh dari bas yang bergerak ketika dalam perjalanan mengikuti bengkel akademik di Bukit Keluang, Besut, Terengganu.
Menurutnya, dia dimaklumkan penganjur program tentang kejadian menimpa Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, sebelum bergegas ke Hospital Tengku Anis di sini.
"Saya hanya dimaklumkan bas yang dinaiki anak bersama rakan-rakan yang lain kemalangan namun tidak dimaklumkan dia meninggal dunia.
"Saya dan keluarga hanya tahu dia sudah tiada sebaik tiba di hospital. Suami beritahu anak cedera parah di beberapa bahagian badan akibat digilis tayar bas," katanya kepada media di sini hari ini.
Nik Hasmani berkata, anaknya yang mesra dipanggil Adam pada mulanya agak keberatan mengikuti bengkel tersebut dan tidak menyangka itu petanda awal dia akan kehilangan arwah.
"Adam seorang pelajar yang aktif di sekolah dan menyimpan angan-angan untuk sambung belajar di Sekolah Menengah Sains Machang yang dekat dengan rumah kami tahun depan.
"Kami sekeluarga tinggal di Taman Desa Bakti, Bukit Belah, Machang dan arwah tak mahu berjauhan dengan keluarga apabila ke sekolah menengah," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Wan Muhammed Adam maut digilis selepas terjatuh dari bas apabila lantai kenderaan dinaikinya itu berlubang dalam kejadian 12.50 tengah hari di Kampung Kandis di sini hari ini.
Murid darjah enam itu dikatakan bersama rombongan Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Muhammed Adam dan beberapa rakan berdiri di bahagian hadapan bas berdekatan tangga sebelum lantai bas itu 'jerlus' secara tiba-tiba dan terjatuh ke atas jalan raya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Murid tahun enam maut lantai bas berlubang
JPN akan kumpul maklumat kes bas belubang
Bas terlalu uzur, lantai reput: PDRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!