Pemandu bas patut lebih peka
SHAH ALAM - Pengusaha dan pemandu bas sekolah sepatutnya lebih peka jika mendapati kelainan terhadap mana-mana bahagian bas yang dibawa mereka.
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM), Amali Munif Rahmat berkata, dalam insiden seorang murid meninggal dunia selepas lantai bas yang dinaikinya 'jerlus' semalam, ada kemungkinan pemandu bas tidak peka dengan perubahan yang berlaku.
"Pemandu mungkin tak perasan lantai beralaskan besi ini dah reput. Dia sepatutnya peka jika lihat lantai itu sudah lembut disebabkan besi di bawahnya mula reput.
"Insiden ini pasti tidak akan berlaku jika pemandu lebih peka. Malah, pemandu juga tidak sepatutnya membiarkan pelajar berdiri di tangga bas," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas terlalu uzur, lantai reput: PDRM
Menurut beliau, aspek keselamatan sememangnya menjadi keutamaan bagi semua pengusaha bas di mana pembinaan bas perlu mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom.
"Cuma kita khuatir jika ada yang melakukan pengubahsuaian dan tak ikut spesifikasi. Maka, insiden ini patut dijadikan peringatan kepada semua pihak untuk lebih berjaga-jaga dan tidak memandang remeh aspek keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!