LKTN sasar RM350 juta nilai industri
KOTA BHARU - Selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Industri Kenaf (PIPK), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan nilai industri sebanyak RM350 juta menjelang tahun 2025.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, PIPK 2015-2025 menetapkan pembangunan industri tersebut merangkumi sektor huluan, pertengahan dan hiliran yang akan melalui tiga industri.
"Ia akan melibatkan bahan binaan, automotif dan penerbangan dengan keluasan 10,000 hektar. Ia juga sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang rantai nilai sebanyak 2,300 pekerjaan," katanya.
Beliau hadir Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2019 di Hotel Perdana, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi LKTN, Wan Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN, Samsuddin Noor.
Menurutnya, jualan produk kenaf menunjukkan perkembangan positif dengan memperoleh hasil jualan sebanyak RM5.451 juta tahun 2018 dan jumlah ini meningkat sebanyak RM3.603 juta berbanding RM1.848 juta tahun 2017.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan penjualan sebanyak RM7 juta tahun ini dan sehingga Mei, LKTN telah memperoleh hasil jualan sebanyak RM2.23 juta.
Shamsul dalam ucapannya juga memberitahu, disamping memperhebatkan publisiti dan pemasaran barangan kenaf dalam negara, beliau juga menyarankan agar produk di Kenaf Mall diluaskan jualan melalui servis-servis jualan atas talian yang lain.
"Contohnya E-Bay, Amazon, Wallmart, Ali Ekspress serta tidak ketinggalan Lazada, Shopee dan sebagainya. Visi saya, semoga produk-produk kenaf pada satu hari nanti akan terjual di setiap pelusuk dunia dan melalui dalam talian tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!