Pecah rumah: Lima suspek geng ‘Ah Hau’ diberkas polis
KUALA LUMPUR - Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai anggota geng pecah rumah ‘Ah Hau’ dalam serbuan di sekitar daerah Cheras dan Kajang pada 20 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata siasatan mendapati kumpulan Ah Hau ini terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Kajang, Cheras, Petaling Jaya dan Shah Alam.
"Kami percaya dengan tertumpasnya geng berkenaan, kira-kira 15 kes pecah rumah diselesaikan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kesemua mereka yang ditangkap itu berumur dalam lingkungan 30-an.
Ahmad Dzaffir berkata pihaknya turut merampas peralatan pecah rumah seperti besi kuku kambing, parang, pemutar skru, spanar, playar serta pelbagai jenis komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!