Cukupkah sekadar minta maaf?
"SAYA minta maaf atas kesilapan selama ini kepada awak."
Itu antara dialog yang lazimnya kita tuturkan apabila meminta maaf daripada orang lain sebelum bersalaman.
Namun, cukupkah hanya sekadar lafaz itu dengan bersalaman sebagai tanda bermaafan?
Bagaimana sebenarnya tatacara untuk kita meminta maaf sekiranya ada kesalahan yang kita lakukan terhadap manusia lain?
Menjawab soalan itu, sebenarnya, memohon kemaafan atau memulangkan hak yang diambil sama ada dari sudut harta, menjatuhkan maruah dan selainnya sesama manusia merupakan syarat bertaubat.
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Riyadussolihin menyatakan, syarat taubat dosa manusia dengan ALLAH SWT adalah dengan meninggalkan dosa, menyesal dan berazam untuk tidak sekali-kali mengulanginya.
Adapun, syarat bertaubat dosa sesama manusia adalah dengan meninggalkan dosa, menyesal, berazam sungguh-sungguh tidak akan mengulanginya dan memohon kemaafan atau memulangkan haknya.
Jika kita telah mengambil hak manusia seperti hartanya, maka tidak cukup sekadar meminta maaf semata-mata akan tetapi wajib memulangkannya kembali.
Sama ada memohon kemaafan secara umum atau secara khusus dengan menyatakan setiap kesilapan, ia sebenarnya menjadi perselisihan dalam kalangan ulama.
Jika seseorang itu menyebutkan satu persatu dosanya dibimbangi akan dipukul atau membawa mudarat yang lebih besar, maka cukup sekadar memohon kemaafan secara umum.
Bagaimanapun, jika mudaratnya lebih kecil, maka wajar untuk menyatakan setiap kesalahan yang dilakukan.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!