Pelajar harus dibiar berfikir dengan kritis: Mohamed Khaled
JOHOR BAHRU - Kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang menyatakan kekesalannya terhadap sebuah sekolah antarabangsa di negara ini kerana didakwa cuba menyemai kebencian dalam kalangan pelajar mengenai industri penanaman sawit adalah perkara yang tidak wajar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyelar perkara berkenaan selain menyifatkan ia sebagai satu pemikiran yang dangkal berikutan pelajar terutama generasi muda seperti itu tidak seharusnya disekat untuk berfikir dengan kritis.
“Mereka harus digalakkan untuk memberikan pandangan dan menyatakan pendirian. Sama ada anda bersetuju dengan hujah dan buah fikiran mereka atau tidak, tanggungjawab anda ialah memberikan ruang dan menghormati hak mereka untuk bersuara.
“Jika anda tidak bersetuju, maka kemukakan hujahan balas, mereka bukannya golongan yang akan tersinggung atau memberontak secara membuta tuli. Sudah pasti mereka sebenarnya memahami bahawa pandangan dan pendirian adalah perkara yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga seharusnya lebih rasional kerana pelajar sama ada di sekolah antarabangsa mahupun sekolah kerajaan masih belum mengerti istilah bertentangan kepentingan nasional.
“Mereka adalah anak-anak yang penuh dengan rasa ingin tahu. Keterujaan mereka dalam meneroka ilmu dan perkara baharu adalah sesuatu yang bersifat fitrah. Mereka mempunyai seribu satu persoalan dalam pemikiran mereka.
“Malah, mereka juga naif dalam melalui proses pembelajaran. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memimpin mereka sepanjang proses tersebut. Adalah tidak matang untuk memberikan mereka dengan label yang tidak sesuai,” katanya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut memberi ingatan, dengan perkara remeh seperti itu, kerajaan seharusnya tidak perlu untuk melepaskan kekecewaan atau kegagalan menteri di sekolah.
“Menteri (Teresa) jangan sesekali membawa kegagalannya dalam meyakinkan masyarakat dunia tentang mutu, khasiat dan kepentingan kelapa sawit sebagai komoditi ke sekolah dan memangsakan anak-anak di persadanya.
“Kegagalan anda mengubah persepsi negatif terhadap kelapa sawit dan hasilnya adalah masalah dan kegagalan anda sebagai menteri. Jangan kategorikan persembahan anak-anak sekolah sebagai mempersendakan kepentingan nasional hanya kerana mereka mengekspresikan pendapat melalui sebuah ‘school performance’,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, sepatutnya medan menteri untuk mempromosikan kempen kelapa sawit bukan di sekolah tetapi di Parlimen Eropah, Kongres Amerika atau di Parlimen United Kingdom.
Terdahulu, Teresa berkata, tindakan sekolah itu dianggap bertentangan dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan yang melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap industri minyak sawit negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!