Mempersiapkan golongan muda hadapi #undi18
KUALA LUMPUR - Buat pertama kalinya, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang mencadangkan had umur mengundi dalam pilihan raya diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Cadangan pindaan itu bertujuan membolehkan lebih ramai warganegara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan melalui suatu pilihan raya selaras sistem demokrasi yang progresif.
Sekilas pandang, pindaan itu dijangka tidak berdepan halangan untuk diluluskan.
Ini kerana, parti-parti komponen kerajaan Pakatan Harapan serta parti-parti pembangkang seperti Pas, UMNO dan MIC telah menyuarakan sokongan kepada pindaan itu.
Persoalannya, sejauh manakah anak muda berusia 18 tahun ini dapat membuat pertimbangan sebaik-baiknya berhubung politik negara terutamanya dalam memilih kerajaan yang akan mentadbir negara.
Generasi muda dikatakan tidak ‘ambil peduli’ tentang perkembangan negara kerana asyik dengan perkara yang menghiburkan mereka khususnya media sosial.
Tanpa rasa kepedulian terhadap perkembangan negara, mereka dilihat boleh membuat keputusan yang ‘silap’ semasa mengundi.
Apakah yang perlu dilakukan kerajaan dan masyarakat khususnya dalam menghadapi perkembangan yang bakal memberi nafas baharu kepada senario politik negara?
Mengenali demokrasi
Penyelaras Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Chan Yit Fei menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda usia bagi mengundi dalam pilihan raya namun, beliau berpendapat sistem yang ada belum memberikan ilmu pengetahuan yang mencukupi berhubung kesedaran mengenai landskap politik serta kerangka sistem politik negara kepada golongan muda.
Beliau percaya belia Malaysia tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai politik kerana ramai daripada mereka tidak tahu perkara-perkara penting dalam pentadbiran dan pemerintahan negara seperti bagaimana kerajaan berfungsi, pengasingan kuasa, Parlimen, Kabinet dan sebagainya.
Tanpa pengetahuan sedemikian, beliau khuatir golongan muda belum cukup matang dalam membuat keputusan semasa mengundi.
"Adalah penting bagi golongan muda menerima pendidikan yang mencukupi mengenai kewarganegaraan, politik, dan hak asasi manusia semasa mereka di sekolah.
"Sistem pendidikan perlu ditambah baik bagi memperkenalkan mereka kepada proses demokrasi. Persekitaran sekolah juga harus menyemai budaya demokratik supaya anak muda ini dapat dibiasakan dengan proses seperti pemilihan, pengundian dan lain-lain," katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr. Sivamurugan Pandian pula mencadangkan supaya literasi politik bagi golongan muda dimulakan lima tahun lebih awal sebelum mereka mencapai usia 18 tahun.
"Dari usia 13 tahun lagi iaitu ketika berada di peringkat sekolah menengah, mereka perlu diberi pendedahan dan kesedaran tentang pilihan raya.
"Oleh itu, silibus pendidikan sedia ada perlu ditambah baik untuk membolehkan proses literasi politik berjalan dengan lancar,” katanya.
Bagi meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia, beliau berpendapat semua pihak seperti keluarga, guru, pensyarah, media serta parti-parti politik perlu terlibat dalam membantu mereka membina sifat-sifat rasional, nilai-nilai politik berhemah dan mengelak membuat keputusan yang emosional.
Berpolitik
Selain pendidikan secara formal, penurunan umur layak mengundi juga dilihat boleh mendedahkan serta menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam kancah politik negara.
Pakar politik dan pentadbiran Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata perkara ini akan meningkatkan kepekaan dan sensitiviti terhadap jati diri negara bangsa seterusnya meningkatkan rasa cinta dan rasa kepunyaan kepada negara.
"Pada masa ini, penyertaan generasi Y masih rendah kerana mereka hanya melihat politik sebagai perebutan kuasa dan perbuatan menjatuhkan satu sama lain sedangkan politik sebenarnya adalah tentang menyuarakan pendapat dan pandangan menerusi saluran yang betul,” jelas beliau.
Di negara-negara maju serta beberapa negara Asia Tenggara, katanya, ramai golongan muda menceburi dunia politik malah, ada di antara mereka yang menyandang jawatan tinggi dalam parti dan pentadbiran kerajaan pada usia muda.
Justin Trudeau menjadi Perdana Menteri Kanada pada usia 43 tahun manakala Jacinda Ardern menyandang jawatan Perdana Menteri New Zealand ketika berusia 38 tahun.
"Pada usia 21 tahun, seseorang akan mengambil masa yang lama untuk berkembang dalam politik dan seterusnya diberi peluang memegang jawatan. Apa yang berlaku di Kanada (yang mempunyai perdana menteri muda) adalah kerana golongan mudanya aktif dalam politik seawal umur 18 tahun lagi,” katanya.
Tanggungjawab
Di Malaysia, Akta Umur Dewasa 1971 menetapkan usia 18 tahun sebagai umur orang dewasa.
Mereka yang mencapai umur itu dianggap boleh dihakimi sebagai orang dewasa di mahkamah bagi sebarang perbuatan yang melanggar peraturan negara.
"Ada banyak keputusan yang boleh dibuat oleh seseorang yang berumur 18 tahun di negara ini. Antaranya membeli kereta, terlibat dalam sesuatu kontrak, berkahwin tanpa perlu mendapat izin pihak ketiga, mengambil lesen perniagaan, menganggotai parti politik serta jika mencukupi syarat dan membayar cukai.
"Itu adalah tanda bahawa kita telah pun meletakkan banyak tanggungjawab kepada warganegara yang mencapai umur 18 tahun,” kata Sivamurugan.
Beliau berpendapat dengan tanggungjawab sedemikian, tidak ada salahnya bagi seseorang yang berumur 18 tahun diberi peluang untuk membuat keputusan besar seperti mengundi dalam pilihan raya.
Mereka juga tidak boleh dianggap belum matang atau tidak mampu membuat keputusan bijaksana kerana mereka sudah pun terdedah kepada maklumat yang luas hasil kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!