DBKL roboh 13 struktur haram
KUALA LUMPUR - Kedegilan peniaga tidak mengendahkan notis penguatkuasaan berakhir dengan tindakan perobohan struktur haram oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
Sebanyak 13 struktur yang dibina tanpa kebenaran di sepanjang Jalan 11/32 Taman Jinjang Baru, Kepong di sini dirobohkan dalam satu operasi dijalankan.
Sumber dari Unit Media DBKL berkata, tindakan dilakukan di bawah bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"Siasatan mendapati semua struktur tersebut menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman, pakaian, barang basah dan barang kering.
"Pemilik struktur juga telah diberikan notis penguatkuasaan sebanyak tiga kali sebelum tindakan perobohan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi tersebut diketuai oleh DBKL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, SWCorp, Alam Flora, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Sementara itu, dalam operasi berasingan, sebanyak 44 notis kompaun dikeluarkan dalam Operasi Angkut siri 18/2019 yang dijalankan di sepanjang Jalan Ampang (KLCC) dan Jalan Tun Sambanthan.
"Operasi ini menumpukan tindakan ke atas pemilik motosikal yang meletakkan motosikalnya di tempat tidak dibenarkan seperti siar kaki.
"Kesalahan itu masih dilakukan tanpa memikirkan sikap pentingkan diri itu boleh mengundang bahaya kepada pejalan kaki dan menyebabkan kerosakan siar kaki," katanya.
Katanya, tindakan diambil di bawah kesalahan Kaedah 44 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 kerana meletakkan kenderaan di atas siar kaki.
"Setiap kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!