KUALA LUMPUR - Berpura-pura pengsan selepas dicekup kononnya berharap dapat dilepaskan. Namun tindakan seorang wanita warga asing disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) itu hanya sia-sia. Tidak cukup dengan itu, wanita berusia lingkungan 20-an itu turut menangis menagih simpati pihak berkuasa. Lebih licik, terdapat segelintir lelaki tempatan yang membantu beberapa GRO ini untuk melarikan diri termasuklah menyembunyikan mereka di dalam kereta. Malah, ada antara GRO ini menanggung padah apabila cedera di muka, tangan dan kaki akibat terjatuh semasa cubaan melarikan diri. Itu antara situasi yang berlaku dalam serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong Mesra, di sini, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi. Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, Ops Gegar telah menahan 14 wanita warga Vietnam disyaki adalah GRO berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun. "Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan disyaki penjaga premis. "Semakan mendapati, ada wanita ini gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah serta salah guna pas dan permit. Malah lelaki tempatan itu ditahan kerana dipercayai memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang melanggar kesalahan imigresen," katanya. Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.