'Irfan Wafiy dah hilang keyakinan diri'

Idham Wazir menjelaskan keadaan anaknya ketika ditemui pemberita di Taman Dahlia di sini hari ini.
Idham Wazir menjelaskan keadaan anaknya ketika ditemui pemberita di Taman Dahlia di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Dahlia, Irfan Wafiy yang disahkan menghidap myokymia dipercayai kesan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Mac lalu, tidak pernah mempunyai sejarah penyakit.

Perkara itu diakui sendiri bapanya, Idham Wazir A Wahab, 49, yang jelas terkilan apabila melihat perkembangan dan keadaan terkini dialami anak lelaki keempatnya itu.

Menurutnya, Irfan Wafiy sebelum ini merupakan seorang yang aktif dan gemar melakukan aktiviti renang tapi sudah mula hilang keyakinan diri selain personalitinya tidak seperti dulu.

“Anak saya tidak pernah sakit sebelum ini, memang dia tidak pernah kena. Dia seorang yang aktif dan cergas, bila jadi macam ini, dia hilang keyakinan diri.

“Dulu dia gemar berenang, sekarang dia dah tidak boleh buat apa. Kadang-kadang bila dia duduk sendiri, dia pukul kakinya dan tanya kepada saya kenapa dirinya yang harus kena penyakit seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Dahlia di sini hari ini.

Idham Wazir berkata, selain faktor kesihatan yang membimbangkan, dirinya juga khuatir dengan proses pembelajaran anaknya yang kini agak terbatas.

Katanya, perkara itu adalah melibatkan sesi rawatan yang perlu dihadiri anaknya selain terpaksa menghadapi kesan sampingan pengambilan ubat dibekalkan hospital.

“Anak saya tidak ada sawan tetapi hanya dibekalkan dengan ubat itu, ubat itu kalau dia makan, banyak kesan sampingan, paling jelas lepas dia makan dia tidur. Dia akan ambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah, kalau makan ubat tidur, macam mana nanti.

Artikel Berkaitan:

“Kalau siang kena makan ubat, nanti tidur pula dalam kelas. Dah tiga bulan makan ubat sama tetapi tiada perubahan,” katanya.

Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa kecewanya berikutan tiada sebarang tindakan pihak berwajib mengambil berat tentang status kesihatan anak mereka sehingga hari ini.

"Mana seriusnya perhatian mereka, katanya Kementerian Kesihatan sentiasa memantau keadaan anak saya, saya pun tidak faham.

"Dia (Irfan) sepatutnya mendapatkan rawatan fisioterapi tetapi temu janjinya bulan lapan (Ogos) nanti.

"Anak saya kena bulan tiga (Mac) tapi temu janjinya bulan lapan (Ogos), anak saya fobia malah mangsa-mangsa yang lain juga fobia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!