Tuntut pendaftaran automatik dalam sistem SPR
PASIR MAS - Pemuda Pas menuntut pendaftaran automatik dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti dilaksanakan secara serentak jika kerajaan mahu menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia perlu dilakukan secara serentak bagi mengelakkan berlaku 'keciciran' apabila ada anak muda yang mengambil mudah perkara itu dengan tidak mendaftar sebagai pemilih meskipun sudah berusia 21 tahun.
"Dapatan statistik menunjukkan ada tiga juta orang muda (berusia 21 tahun dan ke atas) tidak mendaftar sebagai pemilih.
"Hanya kaum-kaum tertentu sahaja yang berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan kerajaan untuk menurunkan had mengundi dari 21 ke 18 tahun yang telah dibacakan kali pertama di Parlimen semalam.
Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Madrasah Nasrullah, Meranti di sini hari ini.
Menurutnya, Pemuda Pas tidak mahu jurang perbezaan pemilih antara kaum itu terus berlaku pada masa hadapan.
Katanya, faktor tersebut menyebabkan Pemuda Pas menuntut supaya pendaftaran automatik dilakukan dengan masuk terus ke data SPR.
"Kita secara terbuka setuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan dalam isu ini.
"Hal ini kerana ia selari dengan tuntutan antarabangsa," katanya.
Ahmad Fadhli berkata, isu-isu teknikal lain boleh dibincangkan secara lebih terperinci selepas ini tetapi pendaftaran automatik itu perlu dilakukan secara serentak dengan penurunan had umur.
Katanya, bukan itu sahaja Pemuda Pas juga mahu had calon PRU juga perlu turut diturunkan sejajar dengan cadangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!