Syed Saddiq nafi umur 31 hingga 60 kategori warga emas

Syed Saddiq menafikan penularan yang mengatakan individu berumur 31 hingga 60 dikategorikan sebagai golongan warga emas.
Syed Saddiq menafikan penularan yang mengatakan individu berumur 31 hingga 60 dikategorikan sebagai golongan warga emas.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa individu berumur 31 hingga 60 dikategorikan sebagai golongan warga emas.

Pengendali Facebook Syed Saddiq berkata, Ahli Parlimen Muar itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kenyataan itu adalah kenyataan palsu,” kata pengendali itu dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, tular sekeping gambar Syed Saddiq dengan kenyataan individu berumur 31 tahun hingga 60 tahun dikategorikan sebagai golongan warga emas.

Ia kemudiannya menjadi bahan gurauan netizen yang menganggap perkara itu sebagai satu perkara yang lucu.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Syed Saddiq ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata, pindaan pada akta berkenaan mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!