Pereka grafik gagal ketepi sabitan muat naik karikatur hina bekas PM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin gagal dalam percubaan terakhir untuk mengetepikan sabitannya atas tuduhan memuat naik imej karikatur menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di akaun Facebooknya pada 2016.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini, susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Kamardin Hashim dan dua hakim lagi ialah Datuk Wira Kamaludin Md Said dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hakim Kamardin berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan Mohd Fahmi Reza dan justeru itu sabitan terhadapnya adalah selamat untuk dikekalkan dan disokong dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan sebelum ini.

“Sehubungan itu, rayuan (perayu) ditolak dan sabitan serta hukuman oleh mahkamah rendah disah dan dikekalkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fahmi Reza, 41, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8 Feb 2016.

Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, Ipoh, pada 2.40 petang, tarikh yang sama (8 Feb 2016).

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan sebelum ini memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 12 Nov, 2018 yang mengetepikan hukuman penjara selama sebulan ke atas Mohd Fahmi Reza dan mengurangkan dendanya dari RM30,000 ke RM10,000 selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman itu.

Artikel Berkaitan:

Pereka grafik itu turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengekalkan sabitannya atas tuduhan tersebut.

Pihak pendakwaan kemudian memutuskan untuk menarik balik rayuan supaya Mohd Fahmi Reza dikenakan hukuman lebih berat, namun rayuan pereka grafik itu berhubung sabitan ke atasnya diteruskan.

Pada 20 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM30,000 ke atas Mohd Fahmi Reza selepas mendapatinya bersalah atas tuduhan itu.

Terdahulu dalam hujahannya, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Mohd Fahmi Reza berkata, imej karikatur yang dimuat naik anak guamnya adalah satu bentuk parodi (gurauan) dan ia bertujuan mengkritik pihak berkuasa ketika itu yang dikatakan telah menyekat kebebasan komunikasi di media sosial.

Beliau berkata, tiada bukti melalui keterangan saksi pendakwaan sebelum ini bahawa wujudnya niat untuk menyakitkan hati dan pertuduhan terhadap anak guamnya itu sendiri defektif memandangkan tidak dinyatakan dengan khusus siapa individu atau pihak yang sakit hati dengan tindakan anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurshafini Mustafha ketika menyentuh isu ‘menyakitkan hati’ pula berhujah, keterangan yang ada jelas menunjukkan perayu mempunyai niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi perbuatannya itu.

“Posting dibuat perayu (di Facebook) ditetapkan sebagai ‘public’ jadi sesiapa sahaja boleh lihat posting tersebut. Kalau perayu tidak berniat sakitkan hati orang lain kenapa imej karikatur itu yang pada asalnya dimuat naik pada 31 Jan 2016 dimuat naik semula pada 8 Feb 2016 bersama notis peringatan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) yang palsu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pula menambah, siapa individu atau pihak yang sakit hati bukan satu elemen dalam pertuduhan tetapi yang apa penting ialah untuk membuktikan niat perayu apabila melakukan kesalahan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!