RON97 naik 4 sen, RON95 dan diesel kekal
PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 4 sen seliter daripada RM2.49 kepada RM2.53 bagi tempoh 6 Julai sehingga 12 Julai 2019.
Kementerian dalam satu kenyataan turut mengumumkan harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit diesel juga kekal pada RM2.18 seliter.
Menurut kementerian, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 adalah RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel pula adalah RM2.32 seliter bagi tempoh yang sama.
“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 6 Julai 2019 sehingga 12 Julai 2019 adalah berjumlah RM99.53 juta,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!