MELAKA TENGAH - Seramai 26 pelayan pelanggan wanita yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam Op Noda di beberapa hotel bajet di daerah ini semalam. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi itu dijalankan 38 pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Melaka Tengah. Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga buah lokasi berasingan yang dipercayai memulakan aktiviti tidak sihat itu sejak Jun lalu manakala wanita yang ditahan berusia antara 24 hingga 39 tahun warga Bangladesh, Indonesia dan Thailand termasuk dua wanita tempatan berusia 26 dan 33 tahun. "Operasi yang dijalankan hasil risikan pasukan D7 Bukit Aman Melaka Tengah di tiga buah hotel bajet termasuk dua di Jalan Munshi Abdullah dan sebuah lagi di Jalan Kilang Melaka. "Turut ditahan seramai tujuh lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh yang juga penjaga premis berusia antara 28 hingga 64 tahun," katanya kepada media di sini hari ini. Menurutnya, dua pelanggan lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 18 dan 31 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut dan kesemua mereka mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana terbabit kegiatan persundalan dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH). "Mereka turut disiasat di bawah kesalahan-kesalahan imigresen mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)Akta Imigresen," katanya.