Jika Waythamoorthy salah, Syed Saddiq bagaimana?

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tidak adil sekiranya meletakkan sepenuh kesalahan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berhubung rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu.

Kenyataan itu disuarakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang turut menyamakan ‘kesalahan’ Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kekalahan Malaysia pada Vietnam di pentas akhir AFF Suzuki minggu lalu.

"Saya secara peribadi merasakan bahawa meletakkan kesalahan sepenuhnya pada Waythamoorthy atas isu rusuhan di kuil Seafield, termasuk gesaan untuk beliau meletakkan jawatan seperti yang dikatakan pengguna media sosial adalah sama dengan menuntut Syed Saddiq meletakkan jawatan kerana kekalahan Malaysia pada Vietnam di pentas akhir AFF Suzuki," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Ramkarpal turut menyentuh berhubung "gesaan terbuka" Syed Saddiq agar Waythamoorthy meletakkan jawatan.

"Beliau (Waythamoorthy) semestinya akan mendapat kritikan daripada orang ramai, namun menerima gesaan daripada menteri lain untuk meletakkan jawatan adalah hal yang berbeza dan bertentangan dengan persetujuan bahawa sebuah kerajaan bertanggungjawab bersama-sama atas sesebuah keputusan.

"Sekiranya Waythamoorthy perlu ditegur sekali pun, ia perlulah datang daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan menteri lain," katanya.

Bagaimanapun, hakikatnya Syed Saddiq tidak membuat gesaan terbuka untuk peletakan jawatan Waythamoorthy.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Muar itu hanya mempertahankan hak Pemuda Bersatu untuk menyerahkan memorandum menggesa pemecatan Waythamoorthy kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Ulya Aqamah Husannudin sebelum ini berkata, Syed Saddiq hanya mengaturkan perjumpaan antara mereka dan Mahathir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!