Poland kecualikan pekerja muda daripada cukai pendapatan

Cadangan parti PiS pimpinan Perdana Menteri Jarosław Kaczynski (kanan) untuk mengecualikan pekerja muda berusia 26 tahun ke bawah diluluskan Parlimen Poland semalam.
Cadangan parti PiS pimpinan Perdana Menteri Jarosław Kaczynski (kanan) untuk mengecualikan pekerja muda berusia 26 tahun ke bawah diluluskan Parlimen Poland semalam.
A
A
A

WARSAW - Penggubal undang-undang Poland meluluskan usul untuk mengecualikan kebanyakan pekerja muda yang berusia 26 tahun ke bawah daripada cukai pendapatan.

Langkah itu bertujuan membendung aliran keluar anak mudanya yang berhasrat mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik di negara Kesatuan Eropah (EU) lain.

Dewan rendah Parlimen negara itu meluluskan usul berkenaan yang dicadangkan parti konservatif memerintah, Parti Keadilan dan Perundangan (PiS) pada undian lewat malam semalam dengan majoriti besar.

Di bawah rang undang-undang baharu itu, pekerja berusia bawah 26 tahun yang berpendapatan kasar tidak melebihi 20,000 euro (RM102,418) setahun akan menikmati pelepasan cukai pendapatan peribadi sebanyak 18 peratus.

Tahap itu lebih tinggi daripada pendapatan purata Poland yang dianggarkan sekitar 14,000 euro (RM65,192) setahun sebelum cukai.

Kira-kira 2 juta orang mendapat manfaat daripada langkah tersebut yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Ogos depan.

Langkah itu adalah salah satu janji kempen yang dibuat PiS semasa Pilihan Raya Parlimen Eropah yang dimenanginya pada bulan Mei lalu. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!