Imigresen nafi tahan penyanyi AS lima hari
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan dakwaan menahan penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Maggie Lindemann selama lima hari.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius dakwaan penyanyi wanita itu yang dipetik beberapa media berhubung penahanan beliau pada 21 Jun ketika membuat persembahan di restoran di Solaris Dutamas, Jalan Dutasmas 1, Kuala Lumpur.
“Dalam operasi pada 21 Jun lalu pada jam 9.30 malam, di restoran berkenaan, dua warga tempatan dan tiga warga AS ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
“Keesokannya, semua suspek diambil keterangan oleh pegawai penyiasat untuk melengkapkan kertas siasatan dan dua individu warga tempatan diberi jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 4 petang, manakala penyanyi terbabit dilepaskan pada hari sama pada 7 malam iaitu dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, bagaimanapun barang kes terbabit masih dirampas untuk tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 24 Jun lalu.
"Semua individu warga AS dikenakan tindakan kompaun RM300 seorang di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.
“Pada 25 Jun lalu, seorang daripada pihak penganjur didakwa di Mahkamah Seksyen Jenayah Kuala Lumpur atas kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dijatuhkan hukuman denda RM30,000 atau penjara satu bulan dari tarikh tangkapan jika gagal bayar.
“Semua barang kes yang direkod dalam borang rampasan sudah diserahkan kepada semua tangkapan berkenaan pada 25 Jun lalu selepas proses pendakwaan terhadap pihak penganjur selesai dan membayar denda mahkamah.
“Imigresen menegaskan bahawa dakwaan individu terbabit ditahan selama lima hari adalah tidak benar. Imigresen sentiasa melaksanakan tugas dan mengambil tindakan dengan teratur mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Khairul Dzaimee menambah, pihaknya menggalakkan pelancong asing datang melawat negara ini, namun perlu mematuhi peraturan dan undang-undang serta mendapatkan pas bersesuaian dengan lawatan mereka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Sementara itu, pihak restoran terbabit, The Bee dalam kenyataan di laman Instagram hari ini mengesahkan penyanyi terbabit ditahan pihak berkuasa dalam tempoh kurang 24 jam.
“Kami difahamkan kejadian itu berlaku kerana salah faham dalam urusan ejen menguruskan visa dan permit yang juga salah makluman bahawa persembahan itu sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
“Ejen berkenaan didakwa selepas didapati bersalah kerana kecuaian dan perlu membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
“The Bee selaku lokasi penganjuran tidak bertanggungjawab atas tindakan penahanan. Kami tidak membenarkan sebarang tindakan diambil untuk terus melaksanakan (persembahan) apabila berlaku kesilapan seumpama itu,” katanya.
Terdahulu, penyanyi tersebut melalui akaun Instagram dan Twitternya semalam mendakwa ditangkap ketika dalam perjalanan untuk membuat persembahan dan ditahan selama lima hari di lokasi yang disifatkannya seperti ‘neraka’.
Penyanyi berusia 20 tahun itu dijadual beraksi di Publika, Kuala Lumpur sebelum ke Singapura selepas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!