Srikandi Bersatu Melaka mahu Rina terus kekal
MELAKA TENGAH - Sayap Srikandi Bersatu Melaka menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi sepenuhnya terhadap kepimpinan Datuk Seri Rina Harun sebagai Ketua Srikandi Bersatu Malaysia.
Ketuanya, Azalina Abdul Rahman berkata, sayap Srikandi Bersatu Melaka yakin tiada calon lain yang dapat menandingi kekuatan semangat dan perjuangan Rina dalam usaha memperkukuhkan sayap Srikandi Bersatu.
"Tentunya hanya beliau sahaja layak memimpin sebuah sayap paling kanan Bersatu yang dibarisi srikandi hebat 'bersilat' memperjuangkan agenda utama perjuangan Bersatu. Tugas dan gerak kerja yang dirintis Rina dari zaman sebelum kemenangan PRU14 perlulah dipertingkatkan lagi.
"Dengan sokongan lebih padu dan kukuh dari semua barisan kepimpinan Srikandi di peringkat negeri-negeri, Datuk Seri Rina boleh menumpu dan memastikan matlamat serta kesinambungan dalam melestarikan aspirasi Srikandi Bersatu tercapai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.
Rina berkata, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat agung luar biasa pada 20 Julai ini, kerana buat masa ini beliau mahu agar mesyuarat itu, yang membabitkan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti, berjalan lancar dan mendapat persetujuan daripada mereka yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!