Sah, Adib tidak dilanggar, video tular di laman sosial

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, pada 17 Disember lepas meruntun hati rakyat Malaysia.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, wira negara itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir, hampir seminggu sebelum tarikh pernikahannya yang dijadualkan pada esok hari.

Baru-baru ini juga tular video dari sudut lain, sudut yang lebih jelas menunjukkan bahawa Muhammad Adib tidak dilanggar jentera bomba seperti didakwa beberapa orang mewakili Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

Video berdurasi 22 saat itu jelas menunjukkan jentera bomba milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor itu berundur ketika diserang perusuh berhampiran kuil tersebut.

Dalam video itu juga, dapat disimpulkan tiada individu berada di belakang jentera itu ketika kenderaan itu mengundur, cuma kelihatan anggota bomba berada bersebelahannya.

Hari ini, bermula satu lagi episod baru. Pengurus Badan Bertindak kuil tersebut, SW Ramaji memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini mengatakan Muhammad Adib tidak dipukul sebaliknya dilanggar jentera bomba.

Kenyataannya itu pada 28 November lepas mendapat respons negatif. Netizens berang kerana dakwaan sebegitu seolah-olah mengganggu siasatan polis yang konsisten mengatakan arwah dipukul perusuh.

Tidak menunggu lama, keesokan harinya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan Muhammad Adib memang dipukul, bukan dilanggar seperti didakwa pihak kuil.

Artikel Berkaitan:

Mengambil kira bukti dalam video tersebut, ia jelas menunjukkan Muhammad Adib tidak dilanggar dan kecederaan dialaminya akibat dipukul, seperti laporan polis.

Kisah anggota bomba, perwira negara ini pasti tidak akan dilupakan. Bahkan, namanya diabadikan pada Tugu Peringatan Fallen Heroes, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu.

Tangisan mengiringi pemergian arwah, baik dari keluarganya sendiri mahupun rakyat marhaen. Ternyata, kehilangan beliau memberi impak besar kepada rakyat Malaysia.

Ramai menuntut keadilan, mendesak pembunuh Muhammad Adib dikenakan hukuman setimpal. Sehingga hari ini, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan bantahan.

Kisah rusuhan kuil yang kian pudar sebelum ini kembali bersemarak tatkala tersebarnya berita menyedihkan itu.

Semoga keadilan ditegakkan, semoga roh arwah dicucuri rahmat dan semoga keluarga beliau tabah menghadapi ujian berat ini.

Kepada perwira negara, Muhammad Adib Mohd Kassim, damailah kau di sana.

Al Fatihah...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!