Sambut baik nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim

Jalan Semangat yang bakal berubah nama kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar kecil: Ahmad Redha dan Kenny
Jalan Semangat yang bakal berubah nama kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar kecil: Ahmad Redha dan Kenny
A
A
A

PETALING JAYA - Menggunakan nama tokoh sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menggantikan Jalan Semangat di sini adalah langkah tepat sebagai menghargai jasa dan bakti yang ditaburkan olehnya.

Pegawai khidmat pelanggan, P Mahathevan, 46, berkata, dia menyokong usaha tersebut yang disifatkan pembelajaran berterusan buat anak muda dan generasi akan datang.

"Bila letak nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim, bagi yang tak tahu mesti secara automatik akan membuat carian untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan individu tersebut.

"Saya sokong, kalau boleh lebih banyak tokoh negarawan atau individu yang berjasa mengharumkan nama negara dipahat namanya agar terus dikenang," katanya.

Katanya, perubahan Jalan Semangat kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim perlu dilihat pada sudut positif.

"Apalah sangat letak nama jalan menggunakan namanya jika nak banding dengan jasanya yang banyak memberikan pandangan dalam isu semasa, politik dan pembentukan negara.

"Saya kenali beliau melalui hasil pembacaan di akhbar yang banyak menulis mengenai pandangannya. Saya mahu nama beliau terus diingati oleh generasi akan datang.

"Tidak dinafikan permulaannya mungkin boleh menyebabkan kekeliruan tapi jika aplikasi Waze dikemas kini, pada saya masalah sesat itu mampu diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahathevan
Mahathevan

Peniaga, Kenny Tan, 54 turut menyokong pelaksaan itu namun berharap perubahannya tidak dilakukan secara mendadak perlu disertakan pelan yang teliti dan terancang.

"Bagi saya apa-apa keputusan yang memberikan kebaikan, saya tidak menghalang cuma pastikan pelaksanaannya teratur.

"Kalau boleh Jalan Semangat itu tidak dibuang terus sebaliknya disertakan dengan nama baharu untuk tempoh waktu tertentu sehingga pengguna maklum akan perubahan jalan itu.

"Orang yang biasa gunakan jalan itu mungkin tiada masalah tetapi orang yang sesekali ke sana mungkin boleh sesat tak jumpa jalan," katanya.

Pelajar kolej swasta, Ahmad Redha Ahmad, 19, berharap penghormatan ke atas tokoh sejarawan itu diberikan dalam bentuk berbeza selain memahat namanya atas sebuah jalan.

"Saya sokong namun pada pandangan saya lebih baik jika namanya diletakkan pada bangunan seperti hospital atau klinik atau diterjemahkan kepada anggota keluarganya secara terus.

"Mengubah nama jalan yang sudah lama digunakan dibimbangi menimbulkan kekeliruan khususnya melibatkan alamat surat menyurat rumah dan pejabat," katanya.

Sinar Harian hari ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Professor Khoo Kay Kim.

Laporan menyebut kerajaan negeri turut juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu sahaja.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan sekitar Selangor mendapati arahan tersebut dipatuhi.

Dalam kejadian baru-baru ini, seorang pengendali Facebook, Iqbal Khalid memuat naik status mempersoalkan papan tanda jalan baharu tulisan Cina yang dipasang di Bagan Sekinchan.

Bagaimanapun, papan tanda tersebut telah diturunkan beberapa hari selepas isu tersebut ditularkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!