Dr Mahathir hadiri perjumpaan tertutup Bersatu Johor
KULAI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pimpinan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, di sebuah hotel, di Senai, dekat sini malam ini.
Ketibaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu pada 9.20 malam itu disambut Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.
Turut hadir pada perjumpaan tertutup itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik.
Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) turut menghadiri taklimat tertutup IRDA di hotel sama.
Taklimat berhubung perkembangan kawasan wilayah Iskandar Malaysia itu disampaikan Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim.
Turut hadir pada taklimat bermula 8 malam berkenaan, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Bersama Irda, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan Johor yang juga Ahli Lembaga Irda, Datuk Azmi Rohani.
Petang tadi, Dr Mahathir turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna, Johor Jaya, dekat Johor Bahru. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!