Kedah kempunan tiga mata
MISI Kedah untuk memburu kemenangan pada perlawanan ke-19 Liga Super 2019 ke atas PKNP FC gagal apabila kelab tersebut bangkit mengikat tuan rumah 1-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Lang Merah bermula baik mengawal rentak permainan dan memperolehi peluang untuk mencipta ruang namun dinafikan pertahanan pasukan pelawat.
Peluang terbaik Kedah muncul pada minit ke-40 menerusi Fernando Ortega namun percubaannya berjaya ditampan oleh penjaga gol Perak, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah.
Gol yang diburu tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-51 hasil jaringan Azamudin Akil yang mudah menolak bola ke dalam gol selepas Khairul Thaqif gagal menangkap sempurna hasil hantaran Fernando dari sebelah kanan.
PKNP FC yang hadir dengan misi memburu mata berusaha untuk bangkit memburu gol penyamaan melalui percubaan Muhd Ibni Khozaimi pada minit ke-63 namun sedikit tersasar.
Pelawat terus menggandakan serangan dan memperolehi sepakan percuma pada minit ke-66 menerusi Hafiz Kamal namun berjaya dikeluarkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Usaha berterusan PKNP FC untuk menyamakan kedudukan 1-1 berjaya dilakukan pada minit ke-81 hasil tandukan Giancarlo Lopes.
Kedah yang tersentap dengan jaringan tersebut cuba bangkit untuk kembali berada di hadapan namun keputusan seri tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!