Pemandu mabuk rempuh kereta lain ditahan
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian itu berlaku berhampiran dengan Operasi Mabuk yang dijalankan beberapa anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).
Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas ujian awal di lokasi operasi mendapati kadar kandungan alkohol dalam spesimen nafasnya melebihi 111miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.
"Lelaki berkenaan dibawa balik ke IPDTL dan ujian kadar alkohol mendapati, kandungan bahan dalam spesimen nafasnya 195mg/ 100ml yang mana, had yang dibenarkan adalah 80mg/100 ml darah.
"Bacaan itu menunjukkan, kandungan alkohol dalam darahnya melebihi 115mg dalam 100ml darah. Lelaki yang bekerja sebagai jurutera dan berasal dari Cameron Highlands itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 1.50 pagi itu, kereta jenis Proton Perdana yang dipandu lelaki tersebut telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz di persimpangan susur kiri ke Jalan Ahmad Nor dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
"Kedua-dua kenderaan itu datang dari arah bandar menghala ke Bayan Lepas. Apabila sampai di persimpangan susur kiri ke Jalan Ahmad Nor dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Proton Perdana tersebut telah melanggar bahagian belakang Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki.
"Pemandu Mercedes Benz yang berasal dari Teluk Kumbar itu turut membuat laporan polis dan kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan. Pemandu Proton Perdana tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Trafik Khami ini mengikut Seksyeb 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!