Polis cari nelayan terlibat aktiviti bom ikan

Omar Mammah
Omar Mammah
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis sedang mengesan nelayan terlibat menggunakan bom ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan terbunuh di perairan Semporna, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, Pasukan Polis Marin telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu, bagaimanapun, setakat ini individu terlibat dalam kegiatan berkenaan masih belum dapat dikesan.

“Kita (polis) sedang mencari (mengesan nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan). Kita juga telah mengarahkan (polis) marin (menjalankan siasatan). Kru (nelayan) yang ada sekarang yang lalu di kawasan tempat menyelam itu adalah bot kecil. Tetapi masalahnya, tiada siapa mendengar bunyi bom (ikan di kawasan berkenaan),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal terkena bom ikan

Dalam kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang semalam, ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan berhampiran lokasi mangsa menyelam di perairan berhampiran Pulau Kalapuan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, polis Sabah sentiasa komited membuat pemantauan mengekang kegiatan pengeboman ikan di perairan negeri ini, bagaimanapun, nelayan licik kerana mereka akan melakukan kegiatan pengeboman ikan di sesebuah kawasan selepas melihat tiada bot rondaan polis di lokasi tersebut.

“Pemantauan polis adalah sepanjang masa tetapi apabila (nelayan) nampak bot (rondaan) polis mereka tidak akan menjalankan kegiatan itu, namun, mereka akan mencari kawasan yang tiada bot polis. Kawasan perairan Sabah ini luas, kita tidak dapat kawal semua kawasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Omar berkata kerjasama antara semua pasukan keselamatan dengan Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut adalah amat penting dalam usaha memastikan aktiviti pengeboman ikan ini dapat dibanteras memandangkan ia semakin berleluasa.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah, kita minta orang kampung turut memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mereka mengenal pasti individu atau kumpulan nelayan terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan ini.

“Aktiviti pengeboman ikan ini adalah satu perkara yang perlu dibanteras kerana kesannya begitu merbahaya bukan sahaja kepada kehidupan marin seperti batu karang tetapi juga bahaya kepada nyawa manusia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!