Penghantar pizza maut langgar Hilux

Gambar kecil, Razak
Gambar kecil, Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penghantar pizza maut dalam kemalangan di Jalan Permint Jaya, Chendering, di sini selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa, Muhammad Syafiq Najmuddin Rohaizan, 20, dari Kuala Ibai, maut ditempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda, Afiq Izzuddin Zakaria, 21, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, kemalangan tersebut dipercayai berpunca apabila mangsa yang hendak memotong tiba-tiba terlanggar sisi kanan pacuan empat roda itu yang sedang membelok.

"Siasatan awal mendapati pemandu Hilux dari arah Taman Desa MPKT menghala ke Permint Jaya dan dia ingin meletakkan kenderaannya di sebelah kanan jalan.

"Bagaimanapun semasa hendak membelok ke kanan jalan, mangsa dari arah sama telah memotong di sebelah kanan sebelum melanggar sisi kanan tayar hadapan Hilux tersebut.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal jenis SYM Sport Rider ditunggang mangsa remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas ambulans Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Razak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!