Dua keluarga rugi RM240,000 rumah terbakar
DUNGUN - Ibarat malang tidak berbau, dua keluarga menanggung kerugian kira-kira RM240,000 dan tinggal sehelai sepinggang apabila kedua-dua rumah terbakar ketika mereka tiada di rumah dalam kejadian di Felda Jerangau, di sini.
Kebakaran kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi memusnahkan lebih kurang 95 peratus rumah Pengerusi Majlis Pengurusan Kampung (MPKK) Felda Jerangau A, Mohd Sidek Muhammad dan jirannya, Engku Zulkifli Abdul Rashid.
Kepantasan dan kecekapan pasukan bomba berjaya mengelakkan api merebak ke rumah ketiga gara-gara api cepat marak disebabkan kedua-dua rumah keluarga itu jenis separuh kekal iaitu diperbuat daripada kayu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Mukhtafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba Zul Azman Jamaludin berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, api sudah menjilat hampir keseluruhan kedua-dua rumah keluarga terbabit.
"Kita segera buat kerja-kerja pemadaman pencegahan bagi mengelakkan api menyambar rumah ketiga.
"Kerja pemadaman agak sukar memandangkan tekanan air rendah namun kita dapat atasi kesukaran itu hingga api kedua-dua rumah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pemadaman dilakukan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) AMBS dibantu enam anggota BBP Kuala Berang dan 11 anggota BBP Wakaf Tapai dengan kekuatan kesemuanya tiga buah jentera.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 tengah hari.
Kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.36 petang, namun punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!