'UMNO tak akan bersama Bersatu'
KUALA TERENGGANU - UMNO tidak akan sesekali bekerjasama dengan Parti Bersatu, selagi mana parti itu bersama dan ‘menggemukkan’ DAP.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, walau apa juga yang dilakukan, dipaksa atau hatta UMNO ditutup sekali pun, ahli UMNO tidak akan menyertai Bersatu.
Malah katanya, sampai kiamat sekali pun, parti itu tidak akan menerima DAP, kecuali DAP mengubah perlembagaannya yang memperjuangkan konsep sama rata.
“Sama rata itu indah dipandang, tetapi ia merupakan racun dalam madu. Dalam negara Malaysia ini, kita mempunyai perlembagaan dan kita tidak mengamalkan konsep sama rata tetapi amalkan konsep keadilan.
“Kita tidak boleh menyamakan orang miskin dan kaya, orang miskin mesti diberikan pembelaan yang lebih, kerana dalam Islam sendiri kalau miskin, orang kaya mesti bela orang miskin.
“Kalau sama rata, mereka kena bersaing, miskin atau kaya. Tapi kalau nak disamaratakan, yang kaya lebih kaya, yang miskin akan makin miskin.
"Itu dipanggil ‘rules of jungle’. Sekarang, DAP bawa ‘Malaysia Baharu’, mereka cuba ubah dan kita dah tengok bagaimana ‘disequilibrium in stability’ telah wujud dalam politik negara kita, hatta dalam PH sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti, demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah.
Sebelum itu, beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, di sini hari ini.
Annuar turut bertanya, sama ada Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) bersetuju dengan syor Dr Mahathir untuk memperkuatkan Bersatu.
“Saya tahu kalau Bersatu yang kuat, mungkin dia nak ‘makan DAP’ dan ‘makan PKR’ dalam gabungan PH. Sebelum kita komen, saya fikir molek kalau kita dapatkan komen apakah Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang bersetuju semua parti-parti Melayu bergabung menyertai Bersatu.
“Bagi pihak kita, kita faham Bersatu tidak mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu. Dalam pilihan raya kecil statistik jelas orang Melayu tidak mahu menyertai Bersatu, kecuali beberapa pemimpin yang ada kepentingan nak duduk bersama kerana Bersatu dilihat ada kuasa,” katanya.
Bagaimanapun katanya, rata-rata orang Melayu tidak fikir soal habuan, sebaliknya melihat kepada politik yang lebih murni dan kedudukan mereka terjamin dan ia jelas menunjukkan orang Melayu tidak mahu sertai Bersatu.
“Jadi, apa yang saya nak katakan, apa kata Bersatu mula memikirkan untuk menyertai UMNO atau Pas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!