AirAsia sambung penerbangan dari Melaka ke Pulau Pinang
MELAKA - Syarikat penerbangan AirAsia menyambung semula perkhidmatan penerbangan dari Melaka ke Pulau Pinang, hari ini selepas tiga hari tertangguh akibat masalah sistem navigasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.
Penerbangan AK6284 yang membawa seramai 158 penumpang selamat berlepas dari LTAM ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 2.50 petang.
Terdahulu, penerbangan sama dari Pulau Pinang mendarat di LTAM pada jam 2.30 petang tadi.
Malah, tinjauan sejak jam 1 tengah hari tadi mendapati suasana di dalam terminal itu lancar seperti sedia kala dan penumpang juga tidak berdepan sebarang masalah ketika mendaftar masuk di kaunter AirAsia serta Malindo Air.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya akan meminta laporan terperinci termasuk kronologi berhubung masalah sistem navigasi yang terganggu di LTAM daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Pihak CAAM bagaimanapun sudah menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dengan melakukan penyiasatan serta pemeriksaan sebelum permasalahan sistem navigasi di terminal LTAM diselesaikan menggunakan sistem sementara.
“Kita difahamkan pihak CAAM dalam proses untuk membaiki sistem (navigasi) ini secara kekal. Ujian yang dibuat pihak CAAM Putrajaya memberi kebenaran di mana prosedur penerbangan diluluskan untuk penerangan kembali beroperasi hari ini,” katanya yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di terminal LTAM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata, pihaknya berterima kasih kepada CAAM dan AirAsia yang mengambil tindakan pantas mengatasi permasalahan itu, sekali gus berupaya meningkatkan lagi keyakinan penumpang.
“Kita dapat lihat jumlah penumpang AirAsia hari ini juga cukup tinggi iaitu seramai 158 orang atau melebihi 70 peratus. Insiden penumpang terkandas pada Rabu lalu sedikit pun tidak menjejaskan perkhidmatan dan keyakinan (penumpang).
“Malah, AirAsia sendiri dilihat menangani kejadian Rabu lalu dengan cukup baik apabila menyediakan perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya.
Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan seramai 132 penumpang pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang terkandas berikutan masalah sistem navigasi di LTAM.
Masalah teknikal itu menyebabkan pesawat AK6285 yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada jam 2.50 petang terpaksa dibatalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!